By Siti Munawirah Mustaffa
11 Ogos - Sesiapa yang banyak meluangkan masa di Internet sudah pasti kenal akan Maria Elena, seorang blogger dan juga vlogger terkenal di alam maya. Cantik, peramah dan gemar berjenaka, tidak hairanlah populariti Maria kian meningkat, menyebabkan gaya fesyen beliau dijadikan ikutan ramai.
Mari kita kenali dengan lebih dekat personaliti Maria yang sebenar!
Boleh Maria ceritakan serba sedikit tentang diri Maria?
Nama saya Maria Elena binti Zarul Ahmad. Saya dilahirkan pada 15 Disember, 1987 dan berumur 25 tahun. Saya bekerja sebagai jurutera sepenuh masa, blogger / vlogger dan juga seorang tutor separuh masa. Insya Allah tidak lama lagi saya akan melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana.
Bagaimana Maria boleh mula berkecimpung dalam dunia blog?
Saya menulis blog semenjak zaman Friendster lagi hanya kerana saya memang suka bercerita dan menulis. Apabila Blogger mula-mula diperkenalkan, saya pun terus daftar masuk untuk menulis blog. Pada waktu itu internet mudah untuk didapati dan menjadi faktor utama saya semakin rancak menulis.
Maria mula bertudung setelah beberapa lama terlibat dalam dunia blog secara serius. Apakah motivasi Maria di sebalik perubahan tersebut?
Saya mempunyai 101 sebab untuk memakai tudung, tapi saya selalu cakap pada diri yang saya masih belum bersedia lagi. Namun,pada tahun 2010, saya sudah tidak mahu lagi menunggu sehingga bersedia untuk bertudung. Saya tidak mahu lagi berasa takut untuk berubah. Motivasi saya pastilah keluarga saya sendiri serta matlamat saya untuk menjadi seorang Muslimah yang lebih baik.
Adakah Maria menulis hanya untuk dikenali ataupun memang gemar berinteraksi bersama peminat menerusi tulisan?
Saya tak pernah terfikir ada orang nak baca blog saya semasa saya mendedahkannya kepada umum pada tahun 2010. Seperti yang telah saya katakan, saya menulis blog kerana saya suka menulis dan bercerita.
Pernah tak Maria menerima sebarang komen pembaca yang tidak dapat dilupakan?
Pernah. Biasalah dalam hidup ini memang ada baik buruknya. Suatu ketika dulu semasa saya sedang bersedih, seorang insan telah menegur saya untuk membaca Al-Fatihah dan mengingati maksudnya, terutama sekali di ayat kelima yang berbunyi "Engkaulah yang kami sembah dan kepada Engkau kami meminta pertolongan". Disebabkan tegurannya, saya terus membaca tafsir Al-Quran untuk mendalami ilmu agama Islam dan Allah SWT.
Apakah komen Maria mengenai mereka yang sentiasa memberikan kritikan negatif terhadap blog Maria?
Saya dulu senang terguris dengan komen berunsur negatif, tetapi sekarang saya berasakan komen tersebut adalah kelakar, tidak relevan, dan kadang-kadang juga benar. Kadang-kadang komen negatif ini membolehkan kita sedar akan kesilapan kita. Jadi, kita mestilah sentiasa bersikap terbuka dan tenang.
Suatu masa dahulu, Maria pernah tak menyangka diri Maria akan dikenali dan dihargai ramai?
Tidak. Sebab saya rasa saya ni berperangai aneh, bukan saja terhadap kawan, tapi juga kepada keluarga sendiri. Saya tak sangka orang lain boleh terima diri saya sebegini (ketawa).
Dari mana datangnya idea penulisan Maria?
Idea biasanya datang dari pengalaman sendiri. Ilhamnya boleh datang dari mana-mana saja, sama ada dari kawan-kawan, kerja, filem, buku, dan lain-lain.
Apakah keuntungan serta cabaran yang didapati selepas Maria terlibat dalam dunia blog?
Cabaran yang saya dapat adalah orang akan mudah mengambil kesempatan untuk menilai dan mengutuk tanpa sebab yang kuat. Namun, saya berasa beruntung kerana dapat menyebarkan ilmu-ilmu yang bermanfaat di samping dapat berkenalan dengan orang ramai.
Maria ada sebarang nasihat untuk para pembaca yang meminati hasil penulisan anda?
Untuk para pembaca yang rajin melawat laman blog saya, anda tidak perlu menunggu masa untuk berubah kepada yang lebih baik kerana kita mampu melakukannya. Ia mungkin tidak akan berlaku dengan cepat, tapi berusahalah dan Insya Allah, ianya akan datang juga. Hidup ini bukan terhad kepada hal dunia sahaja, kerana hal akhirat juga perlu dititikberatkan. Carilah ilmu walaupun hanya menerusi Internet kerana nilainya lebih tinggi dari beg, kasut, baju ataupun kereta termahal di dunia.
More from Yahoo!
maria elena the best..suka tengok video beliau at youtube..:)
ReplyDelete