TAHUKAH anda satu daripada tujuh orang dewasa di Malaysia menderita penyakit diabetes? Selain itu, 60 hingga 70 peratus penghidap diabetes mengalami pelbagai bentuk kerosakan saraf? Ini diburukkan lagi oleh fakta ini: Adakah anda menyedari risiko pemotongan anggota adalah 27.7 kali ganda lebih besar bagi mereka yang menghidap diabetes dan 50 peratus daripada semua kes pemotongan anggota berlaku pada mereka yang berpenyakit diabetes?
Paling menakutkan ialah ramai tidak mengetahui mereka menghidapi pradiabetes. Pradiabetes berlaku apabila paras gula darah meningkat lebih tinggi daripada biasa tetapi tidak cukup tinggi untuk diklasifikasikan sebagai diabetes. Mereka yang mengalami pradiabetes bukan sahaja menghadapi risiko tinggi untuk menderita diabetes, bahkan berhadapan risiko serangan jantung, strok, kegagalan buah pinggang, kebutaan dan kerosakan saraf.
Paras gula darah (glukosa) dalam badan kita dikawal oleh insulin - sejenis hormon yang diolah di dalam organ pankreas. Insulin membantu mengangkut glukosa daripada darah melalui membran sel dan memasukkannya ke dalam sel badan. Selagi membran sel terus sensitif terhadap insulin, pengangkutan berulang-alik glukosa ke dalam sel akan berlaku dengan cepat dan licin. Sebaliknya, apabila membran sel ini menjadi tidak sensitif terhadap insulin (penentangan insulin), maka pankreas terpaksa mengepam keluar lebih banyak insulin untuk memaksa glukosa memasuki sel. Apabila usaha ini tidak begitu berkesan, akibatnya terdapat paras gula yang tinggi beredar dalam darah (pradiabetes). Lama-kelamaan, pankreas tidak berupaya lagi mengeluarkan insulin yang mencukupi untuk mengawal gula darah; maka diabetes jenis II akan menular.
Sumber: Utusan Online
No comments:
Post a Comment